Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Perasmian Forum Swintalk di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Kuching, hari ini.

Skim Pendidikan Tinggi Percuma bangunkan tenaga kerja berdaya saing

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 23 Mei: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bukan sahaja inisiatif bantuan kewangan yang disediakan Kerajaan Sarawak, sebaliknya merupakan strategi pembangunan modal insan bersifat menyeluruh dan jangka panjang untuk memastikan tiada anak Sarawak yang tercicir daripada peluang pendidikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyifatkan FTES sebagai manifestasi iltizam kerajaan wilayah ini untuk merapatkan jurang pendidikan, membasmi halangan kewangan, serta melahirkan graduan berdaya adaptasi dan inovatif.

“Dengan menghapuskan halangan kewangan ini, FTES membolehkan peningkatan kemasukan ke pendidikan tinggi. Ia membolehkan pelajar meneruskan pendidikan tanpa beban hutang, terutamanya mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Forum SwinTalk anjuran Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, FTES membolehkan para pelajar menyumbang kepada sektor-sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, bioteknologi dan inovasi budaya selari dengan halatuju ekonomi Sarawak.

“Pendidikan tinggi percuma membolehkan pelajar meneroka bidang berimpak tinggi seperti AI, bioteknologi, sains data dan robotik tanpa dihalang oleh kos atau lokasi geografi.

“Mereka mesti suka apa yang mereka pelajari dan apabila itu berlaku, mereka benar-benar dapat menyerap dan memahami. Potensi mereka akan berkembang, dan itulah sebabnya kita tidak mahu mereka dibatasi oleh kekangan kewangan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk merapatkan jurang antara kelayakan akademik dan keperluan sebenar industri melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan dan pemain industri.

“Dengan menghubungkan pendidikan dengan industri, graduan bukan sahaja berilmu tetapi juga yakin, anjal dan inovatif. Ciri-ciri ini sangat diperlukan dalam era automasi dan gangguan global,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif forum SwinTalk sebagai satu platform menggalakkan perkongsian ilmu dan bimbingan dalam kalangan pemain utama sektor pendidikan dan ekonomi.

Bertemakan “From Access to Impact: Advancing Education for Sarawak’s Future-Ready Workforce”, forum ini telah berlangsung pada 23 Mei 2025 bertempat di Kampus Swinburne Sarawak, menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh kerjasama antara pendidikan dan industri demi masa depan tenaga kerja Sarawak yang lebih bersedia dan berdaya saing. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan