KUCHING, 23 Mei: Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk mengambil alih kira-kira 188 kilometer bekas jalan balak serta jambatan kayu yang menghubungkan penempatan di kawasan luar bandar khususnya di Bahagian Kapit.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo berkata, langkah ini bertujuan memastikan penyelenggaraan berterusan serta meningkatkan akses rakyat luar bandar kepada kemudahan asas.
“Bekas jalan balak dan jambatan kayu yang kritikal yang memerlukan perbaikan segera juga akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam cadangan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Daripada 5,297 kilometer keseluruhan jalan balak di negeri ini, 3,293 kilometer masih aktif manakala 2,004 kilometer merupakan bekas jalan balak yang tidak lagi digunakan untuk tujuan pembalakan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi mengenai rancangan kerajaan untuk mengambil alih bekas jalan balak dan jambatan kayu yang merupakan jalan utama bagi penduduk di kawasan luar bandar semasa sesi soal jawab di Persidangan Hari Kelima Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dalam pada itu jelas Aidel, bekas jalan-jalan balak yang strategik kini didaftarkan di bawah Sistem Rekod Jalan Malaysia (Malaysia Road Record Information System-MARRIS) bagi membolehkan ia diselenggara menggunakan peruntukan khas kerajaan tertakluk kepada garis panduan Kementerian Kewangan (MOF)
“Setakat ini, sepanjang 312.8 kilometer bekas jalan balak di Bahagian Kapit telah didaftarkan di bawah MARRIS termasuk laluan ke Tunuskim, Long Busang, Pasir Nai, Long Unai, Kampung Sang Anau serta kawasan Belaga seperti Long Kabuho, Long Jawe, Long Lasu dan lain-lain.
“Bagi laluan yang belum didaftar, kebanyakannya masih di bawah tanggungjawab syarikat konsesi pembalakan dengan anggaran keseluruhan laluan yang belum didaftar mencecah 13,687.9 kilometer. Ini termasuk 8,553 kilometer di kawasan Hutan Simpan Kekal dan 5,134.9 kilometer di bawah Lesen Ladang Hutan (LPF),” katanya.
Tambah beliau, pendaftaran bekas jalan balak di bawah MARRIS membolehkan laluan tersebut dimasukkan sama ada ke dalam senarai Jalan Raya Negeri (JRN) atau Jalan Kampung (JKPG) tertakluk kepada spesifikasi dan keperluan masing-masing.
“Ini merupakan langkah strategik kerajaan Sarawak bagi memastikan bekas jalan balak yang penting kepada komuniti luar bandar terus diselenggara dan dimanfaatkan,” ujarnya.
Langkah menyeluruh ini dijangka memberi kesan besar dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat pedalaman serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur luar bandar di Sarawak. – TVS