KUCHING, 23 Mei: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak telah mengemukakan permohonan rasmi pada 11 Mac 2025 kepada Kementerian Dalam Negeri bagi penubuhan dua lagi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu di negeri ini.
Timbalan Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, kerajaan menyokong penuh cadangan penubuhan dua buah PUSPEN baharu di negeri ini bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pemulihan penagih dadah selaras dengan keperluan semasa yang semakin mendesak.
“Statistik tangkapan kes berkaitan dadah di Sarawak semakin membimbangkan iaitu sebanyak 33,115 tangkapan direkodkan dari tahun 2022 hingga 2024 sekaligus menjadikan keperluan kepada pusat rawatan tambahan semakin mendesak,”
“Ketika ini, Sarawak hanya mempunyai sebuah PUSPEN yang terletak di Puncak Borneo Kuching yang mampu menampung 350 orang klien sahaja. Manakala 250 klien daripada pentadbiran mahkamah dan 100 klien secara sukarela. Jumlah ini jelas tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan seluruh negeri terutamanya bagi rawatan secara dalam institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mengenai rancangan kerajaan untuk membina baru pusat pemulihan dadah (PUSPEN di Sarawak khususnya di zon utara atau tengah Sarawak semasa sesi soal jawab di Persidangan Hari Kelima Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sebagai usaha interim tambahnya, kerajaan Sarawak telah menubuhkan Pusat Pembangunan dan Intervensi Komuniti (CDIC) yang berperanan sebagai pusat pencegahan, rawatan dan pemulihan untuk individu serta keluarga yang berdepan dengan isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
“CDIC berfungsi menyokong inisiatif pemulihan berasaskan komuniti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan badan-badan bukan kerajaan (NGO),” tambah beliau.
Setakat ini, tiga buah CDIC telah diwujudkan di Sarawak iaitu di Mukah meliputi kawasan Oya dan Dalat manakala dua buah lagi di Bintulu dan Subis. – TVS