KUCHING, 23 Mei: Sarawak perlu mengambil peluang daripada trend pelaburan teknologi global dengan meletakkan dirinya sebagai destinasi utama bagi pelaburan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital susulan perkembangan rancak oleh syarikat gergasi dunia seperti Google, Microsoft dan Eros Investment di Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, pelaburan besar-besaran oleh syarikat antarabangsa itu merupakan isyarat jelas bahawa Malaysia sedang berada di radar utama pemain teknologi global dan Sarawak berpotensi besar untuk turut meraih limpahan pelaburan tersebut.
“Google telah melabur sebanyak USD2 bilion untuk membangunkan pusat data dan perkhidmatan awan (cloud services) di Malaysia dijangka menyumbang lebih USD3 bilion kepada KDNK serta mencipta 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
“Microsoft pula mengumumkan pelaburan USD2.2 bilion dalam infrastukrur awan (cloud infrastructure), manakala Eros Investment dari India berhasrat membangunkan Taman AI dan Universiti AI dengan pelaburan bernilai USD1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, Sarawak perlu bertindak pantas dan strategik bagi menarik pelaburan seumpama itu ke wilayah ini terutama memandangkan Sarawak memiliki sumber tenaga murah, sokongan dasar kerajaan negeri yang progresif serta penyediaan tenaga kerja yang terlatih dalam bidang yang diperlukan.
Miro turut melahirkan keyakinannya terhadap inisiatif Kerajaan Sarawak dalam mewujudkan Pusat AI Sarawak yang bakal menjadi pemangkin utama kepada penerokaan teknologi AI dan pembangunan digital menyeluruh.
“Adalah menjadi harapan kita agar pusat ini menjadi rujukan utama dalam mewujudkan dan melahirkan minat mendalam masyarakat kepada teknologi digital dan AI,” ujarnya.
Tambahnya, transformasi digital yang digerakkan menerusi pelaburan AI bukan hanya soal pembangunan teknologi tetapi menyentuh masa depan ekonomi, sosial dan pembangunan modal insan negeri secara keseluruhannya. – TVS