MIRI, 23 Mei: Projek Bot Sportfishing berpotensi merancakkan industri pelancongan memancing di Miri yang kaya dengan ekosistem marin.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri, Okong Sulip, projek berkenaan antara perancangan jangka panjang pihaknya untuk memperkasakan ekonomi komuniti nelayan di sini.
“Salah satu inisiatif yang sedang digerakkan ialah projek Bot Sportfishing yang menyasarkan peminat sukan memancing dari dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada Program Peningkatan Sosial Ekonomi Nelayan Sarawak di Dewan Serbaguna Kampung Nelayan Kuala Bakam, di sini, hari ini.
Susulan itu, Okong menzahirkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO) atas inisiatif dan kerjasama dalam penganjuran program untuk komuniti terlibat.
“Antara projek yang sedang berjalan ialah jualan minyak diesel bersubsidi, projek pemasaran dan pembekalan ikan, Projek Pasar Nelayan, serta perancangan jangka panjang seperti Bot Sportfishing dan penginapan inap desa atau rumah sewa,” ujarnya.
Terdahulu, program menyaksikan seramai 40 nelayan menerima sumbangan pukat dan bakul makanan asas bagi membantu meringankan kos sara hidup serta meningkatkan kemampuan menangkap hasil laut. – TVS