BINTULU, 23 Mei: Seorang lelaki rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah lori muatan sawit yang terbakar di Jalan Kidurong, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Mugai Juming, 59, yang merupakan pemandu lori terbabit.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 9.55 pagi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati lori membawa muatan sawit terbakar sepenuhnya pada bahagian kepala kenderaan dipercayai akibat kemalangan kendiri.
“Pemandunya ditemui rentung selepas terperangkap dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari pili bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.