Petaling Jaya, 23 Mei: Kerajaan merangka pendekatan menyeluruh bagi memastikan negara bersedia menghadapi perubahan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi pasaran pekerjaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, berkata kerajaan kini giat meneliti cabaran sebenar yang dihadapi oleh industri dalam usaha menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi yang pesat.
“Kita ingin melihat bagaimana teknologi memberi kesan kepada pekerjaan.
“Mesyuarat MyMahir-NAICI ini diadakan untuk mendapatkan pandangan daripada pihak industri tentang cabaran yang mereka hadapi, terutamanya dari segi kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi kemajuan teknologi,” jelas Gobind.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat sulung Majlis Al Kebangsaan MyMahir untuk Industri (MyMahir-NAICI) di Petaling Jaya, Selangor, pada Jumaat.
Menurutnya, salah satu inisiatif yang diketengahkan adalah platform MyMahir yang berfungsi memberi maklumat tentang peluang pekerjaan serta aspek latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling), terutamanya dalam sektor yang terkesan akibat kemunculan teknologi AI.
“Kita kini memasuki fasa seterusnya, iaitu berinteraksi secara langsung dengan pihak industri bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat mengenai cabaran yang mereka hadapi.
“Maklumat ini penting untuk membantu kita merangka tindakan yang sesuai. Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan kita benar-benar bersedia apabila teknologi mula memberi kesan kepada sektor-sektor tertentu,” tambah beliau.
MyMahir merupakan sebuah platform yang dibangunkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), bersama Pejabat Al Kebangsaan (NAIO) melalui MyDIGITAL Corporation di bawah Kementerian Digital.
Pada masa sama, Gobind mengumumkan bahawa Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) berperanan penting dalam mengumpul data berkaitan kursus latihan, penyedia kursus, dan kandungan latihan yang ditawarkan.
“Data amat penting untuk memastikan latihan yang diberikan sampai kepada kumpulan sasaran yang tepat.
Sebagai contoh, jika latihan itu berkaitan dengan bidang pertanian, kita perlu pastikan ia disampaikan kepada individu atau pihak yang benar-benar memerlukan latihan tersebut,” jelasnya kepada pemberita.- TVS