Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto TVS

MiRRDA fokus basmi kemiskinan, tingkat pendapatan isi rumah

ByRegina Lee

KUCHING, 23 Mei: Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) kini giat memuktamadkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan isi rumah di kawasan pedalaman.

Pengerusi MiRRDA, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, antara tumpuan utama agensi itu adalah untuk menangani kadar kemiskinan tinggi yang dikenal pasti dalam kajian terdahulu terutamanya di kawasan luar bandar.

“Kawasan seperti Selangau dan Kanowit mencatat kadar kemiskinan tinggi. Maka, projek-projek di bawah MiRRDA dirangka bagi mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Ini merupakan objektif utama penubuhan agensi ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion yang diluluskan, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur khususnya pembinaan jalan raya baharu menghubungkan kawasan tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan kawasan penempatan semula (SPS).

“Jalan-jalan ini penting bagi membuka akses ke tanah NCR yang sebelum ini ditinggalkan terutamanya selepas penduduk dipindahkan ke kawasan SPS.

“Dengan adanya akses jalan, kita boleh bangunkan kawasan tersebut dan bantu masyarakat menjana pendapatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aaron Ago turut mendedahkan salah satu inisiatif mampan yang diketengahkan ialah penanaman kelapa sawit berskala kecil untuk isi rumah individu.

Projek tersebut dijangka mampu meningkatkan pendapatan keluarga luar bandar secara mampan.

“Kita menyasarkan pendapatan tidak kurang daripada RM6,000 hingga RM8,000 sebulan bagi setiap isi rumah melalui bantuan skim kelapa sawit ini,” jelasnya.

Menurutnya, had maksimum lima hektar bagi setiap keluarga yang ditetapkan sebelum ini mungkin akan diteliti semula.

“Hasil perbincangan bersama Premier, kita akan buat skim ini lebih fleksibel terutamanya untuk mereka yang memiliki tanah lebih kecil. Kita mahu semua masyarakat mendapat manfaat,” tambahnya.

Premier Sarawak turut menyambut baik perancangan yang dibentangkan dan menyatakan komitmen Kerajaan Sarawak untuk menyokong pelaksanaannya dan menyarankan semua perancangan dapat disiapkan dalam tahun ini supaya projek dirancang dapat dimulakan seawal tahun hadapan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan