KUCHING, 23 Mei: Dokumentari bersiri Gawai Dayak: Roots and Rituals bakal membawa penonton menelusuri susur galur serta merungkai perjalanan spiritual perayaan Gawai Dayak yang dijangka memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap budaya masyarakat Dayak yang kaya dengan adat resam diwarisi turun-temurun.
Pengasas Ensera Creatives merangkap pengarah dokumentari, Sydney Augustine Assom berkata, dokumentari tiga episod itu akan mengetengahkan naratif mendalam mengenai sejarah, nilai-nilai spiritual, serta pelbagai upacara tradisional yang diamalkan komuniti Iban sempena Gawai Dayak, perayaan tahunan yang disambut setiap 1 Jun sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai.
Katanya, dokumentari ini turut memaparkan temu bual eksklusif bersama ketua adat, tokoh budaya serta anggota komuniti dari pedalaman Sarawak yang sekian lama memelihara tradisi nenek moyang mereka.
Mereka berkongsi pengalaman, cerita rakyat dan pandangan berhubung perubahan landskap budaya dalam era globalisasi hari ini.
“Selepas menonton dokumentari ini, satu pengajaran yang saya harap dapat disampaikan kepada umum, bukan hanya kepada masyarakat Iban, ialah agar kita menghargai budaya tradisional serta memahami asal-usul dan sejarah masing-masing.
“Sejarah dan adat resam ini merupakan sebahagian besar daripada identiti kita, dan jika kita tidak peka terhadap asal-usul kita, ia boleh menyebabkan kekeliruan dan perpecahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton dokumentari Gawai Dayak: Roots and Rituals bersama media di sini, hari ini.
Menurutnya, Gawai Dayak bukan sekadar acara keraian, sebaliknya merupakan penghargaan terhadap alam yang menganugerahkan tanah subur dan hasil tuaian memberangsangkan, selain mencerminkan hubungan spiritual antara manusia dengan pencipta serta nenek moyang mereka.
Sydney turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta TVS selaku rakan strategik utama dalam penerbitan dokumentari sarat nilai budaya ini.
Menerusi sentuhan sinematik memukau dan naratif mendalam, dokumentari ini bukan sahaja mengajak penonton mengenali suku kaum Dayak, malah menyeru agar warisan Gawai Dayak terus dilestarikan sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan Malaysia yang majmuk.
Gawai Dayak: Roots and Rituals akan bersiaran di TVS bermula 30 Mei hingga 1 Jun ini, membawakan keunikan sambutan Gawai ke segenap pelosok Bumi Kenyalang.