MIRI, 23 Mei: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Miri By Pass, berhampiran Pujut Padang Kerbau, tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati sebuah kereta terlibat dalam kemalangan kendiri dengan dua lelaki tersepit, masing-masing di bahagian pemandu hadapan dan penumpang belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi menyelamat menggunakan peralatan khas dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan lanjut.