Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menggesa kerajaan negeri dan pihak berkaitan agar mengkaji semula dasar kelulusan projek perumahan khususnya melibatkan pembangunan berskala besar bagi memastikan kemudahan asas dan perlindungan pembeli ditangani secara holistik. Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Kaji semula dasar kelulusan projek perumahan, tangani masalah infrastruktur dan perlindungan pembeli – Hamzah Ibrahim

ByZhahrulniza

KUCHING, 23 Mei: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menggesa kerajaan negeri dan pihak berkaitan agar mengkaji semula dasar kelulusan projek perumahan khususnya melibatkan pembangunan berskala besar bagi memastikan kemudahan asas dan perlindungan pembeli ditangani secara holistik.

Menurut beliau, isu berkaitan infrastruktur asas seperti sistem perparitan, tekanan air serta jalan perumahan kerap menjadi aduan utama penduduk.

“Apabila satu pembangunan perumahan dibuat, yang sering membimbangkan adalah infrastruktur asas seperti parit dan jalan. Apabila projek ini tidak diteliti secara menyeluruh, kita sebagai wakil rakyat terpaksa menjadi tempat untuk rakyat mengadu,” katanya semasa sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Beliau merujuk contoh di kawasan Taman Samarindah dalam kawasan DUN Stakan, di mana projek pembangunan berskala besar yang dirancang membabitkan lebih 1,000 buah rumah hanya dibangunkan secara berperingkat iaitu 200 hingga 300 unit pada satu-satu masa.

“Masalah timbul apabila jumlah rumah semakin banyak tetapi infrastruktur seperti tangki air bertekanan tinggi (high level water tank) tidak dibina. Ini menyebabkan tekanan air rendah dan menyukarkan penduduk,” tambah beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap amalan pemaju yang menjual rumah sebelum projek disiapkan sepenuhnya yang kemudiannya gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, hal ini menyebabkan pembeli menjadi mangsa apabila terpaksa membayar pinjaman perumahan meskipun rumah masih belum siap atau tidak boleh diduduki.

“Masalah ini sering berlaku apabila rumah dijual tetapi tidak siap. Pembeli telah mengambil pinjaman daripada institusi kewangan, tetapi rumah tidak dapat dimasuki. Akhirnya, pembeli terpaksa menanggung beban kewangan sedangkan rumah belum disiapkan,” katanya lagi.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme jaminan yang membolehkan dana jaminan pemaju digunakan untuk menyiapkan rumah jika berlaku kegagalan dalam penyiapan projek.

“Saya mohon dasar ini dikaji semula. Jika perlu, wujudkan satu bentuk jaminan agar jika rumah tidak disiapkan, dana daripada pemaju boleh digunakan untuk menyiapkannya. Ini bagi melindungi pembeli dan mengelakkan rakyat terus menjadi mangsa,” tegas beliau.

Antara isu lain, Hamzah turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap kuota Bumiputera dan pembinaan rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan agar generasi muda diberi peluang memiliki rumah sendiri.

“Saya minta agar setiap kelulusan projek perumahan mengambil kira keperluan kuota Bumiputera dan rumah mampu milik. Anak-anak muda perlu diberi peluang memiliki kediaman sendiri dan tidak terpinggir,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan