Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak. Foto fail TVS

JKM laksana Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak di 337 sekolah pada 2024

ByBernama

KUNAK, 23 Mei:  Sebanyak 337 sekolah di negara ini terlibat dengan pelaksanaan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak tahun lepas melebihi sasaran ditetapkan, iaitu 300 sekolah, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak.

Beliau berkata sambutan yang menggalakkan berkenaan menunjukkan komuniti sekolah mahu program kesedaran seumpama itu diperbanyakkan.

“Sehubungan itu, tahun ini, JKM membuat keputusan untuk memperluas lagi program berkenaan di 300 sekolah seluruh negara dengan 25 daripadanya dilaksanakan di Sabah,” katanya kepada Bernama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di sini hari ini.

Rosmahwati ditemui selepas Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Farah Adura Hamidi sempena Kembara Kasih KPWKM 2025.

Beliau yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata gabungan kerjasama antara penduduk dengan komuniti sekolah termasuk guru, murid, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) penting kerana menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di kawasan sekitar.

“Kita tahu dan sedar bahawa kes-kes perlindungan kanak-kanak semakin meningkat tahun demi tahun, sebab itu gerakan gabungan kerjasama ini perlu kita lanjutkan untuk memastikan kesedaran melindungi kanak-kanak berada di tahap tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmahwati berkata terdapat kepelbagaian pada program advokasi yang dilaksanakan tahun ini termasuk meningkatkan kreativiti dalam elemen Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Selain itu, beliau berkata isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak di Malaysia masih lagi membimbangkan dan di Sabah sahaja terdapat 1,575 kes pada 2024.

“Angka ini bukan sekadar statistik tetapi mencerminkan 1,575 kisah luka, trauma dan ketidakadilan yang dialami oleh anak-anak kecil yang sepatutnya dilindungi dan disayangi,” katanya.

Rosmahwati berkata panggilan percuma Talian Kasih 15999 serta aplikasi WhatsApp 019-2615999 boleh dimanfaatkan komuniti yang memerlukan bantuan segera berkaitan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

“Kita menggalakkan lebih ramai tampil menggunakan talian ini untuk melaporkan sebarang bentuk kecurigaan yang berlaku, terutama yang melibatkan keselamatan kanak-kanak, perlindungan khususnya penderaan daripada aspek fizikal, emosi serta seksual kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata masyarakat merupakan mata dan telinga terbaik untuk melaporkan di Talian Kasih, sekali gus menangani trend peningkatan penganiayaan serta pengabaian kanak-kanak.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan