KUCHING, 23 Mei: Jambatan Batang Saribas 1 yang menghubungkan kawasan Pusa dan Beladin di Bahagian Betong bakal disempurnakan pra pelancaran pada 25 Mei ini oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr Cassidy Morris berkata jambatan sepanjang 1.55 kilometer itu merupakan komponen utama dalam Pakej 02 Projek Jalan Pesisir Sarawak.
“Ia turut melibatkan penaiktarafan jalan sedia ada sepanjang lebih 2.5 kilometer dan pembinaan jalan baharu hampir 2.6 kilometer di kedua-dua sisi Beladin dan Pusa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pembukaan jambatan itu akan menggantikan perkhidmatan feri sedia ada yang mengambil masa sekitar 30 minit, sekali gus mempercepatkan perjalanan menyeberangi Batang Saribas kepada hanya beberapa minit.
“Jambatan ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi mobiliti dan pembangunan mampan di kawasan pesisir negeri ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek tersebut.