JAKARTA, 23 Mei: Gempa bumi kuat berukuran 6.3 magnitud menggegarkan perairan barat daya Bengkulu, di wilayah selatan Sumatera, awal pagi tadi.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, gempa berlaku pada jam 2.52 pagi waktu tempatan dengan kedalaman pusat gempa dianggarkan hanya 10 kilometer dari permukaan laut.
Kepala Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Daryono, berkata hasil analisis menunjukkan gempa itu bersifat kuat dan dangkal, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
“Setelah dilakukan kajian, meskipun gegaran yang berlaku bersifat kuat dan dangkal, tiada indikasi berlaku tsunami,” katanya dalam satu kenyataan.
Gegaran turut dilaporkan dirasai agak kuat dan berpanjangan di beberapa kawasan berhampiran, namun setakat ini tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan diterima.
Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan.