KUCHING, 23 Mei: Forum SwinTalk anjuran Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama antara sektor pendidikan, industri dan kerajaan dalam usaha membangunkan bakat tempatan.
Forum yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn itu menekankan kepentingan kerjasama rentas sektor dalam melahirkan modal insan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sementara itu, Ir. Profesor Lau Hieng Ho, Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, berkata akses pendidikan seperti menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) perlu disertai penekanan terhadap kualiti bagi melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Dengan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak oleh Premier, lebih banyak peluang telah dibuka.
“Kini menjadi tanggungjawab bersama kita untuk memastikan apa yang berada di sebalik pintu tersebut mampu melahirkan pelajar yang bersedia memimpin dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum SwinTalk anjuran Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan bahawa Swinburne Sarawak bakal memperkenalkan kursus Diploma Siswazah dalam Pendidikan bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga pengajar terlatih di Sarawak.
Program ini katanya, akan menumpukan kepada pendekatan pedagogi berasaskan amalan, selaras dengan keperluan tenaga kerja negeri.
Sementara itu, Timbalan Presiden SCCI, Datuk Dr Philip Ting menyeru agar wujud penyelarasan lebih mendalam antara penyedia pendidikan dan pihak industri.
“Kita perlu melihat pendidikan dan pekerjaan sebagai sistem yang saling bergantung. Sektor swasta bukan sahaja perlu merekrut bakat, malah membantu membangunkannya, dari mereka bentuk kurikulum bersama, hingga memberi bimbingan dan latihan.
“Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak memperluas kelompok bakat, dan kini menjadi tanggungjawab kita semua termasuk industri, kerajaan dan akademia untuk memupuk bakat ini dengan matlamat yang jelas,” katanya.
Sesi perbincangan panel kemudiannya dikendalikan Timbalan Ketua Sekolah Reka Bentuk dan Seni, Swinburne Sarawak Cho Chian Hou bersama ahli panel jemputan iaitu Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir; Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Jarrod Sio, Ahli Panel Penilai MQA Dr Joseph Ramanair dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong.
Perbincangan menyentuh mengenai bagaimana sistem pendidikan di Sarawak dapat menjadi lebih inklusif, berasaskan pengalaman serta adaptif terhadap teknologi baharu dan keperluan pekerjaan.
Antara cadangan utama yang dibangkitkan termasuk memperluas pendedahan industri dalam semua peringkat pengajian tinggi, mempertingkatkan capaian pendidikan luar bandar serta menggalakkan penyelesaian masalah secara merentas disiplin.
Bertemakan “From Access to Impact: Advancing Education for Sarawak’s Future-Ready Workforce”, siri forum ini merupakan program berkala yang dianjurkan secara suku tahunan bersama rakan industri bagi membangunkan ilmu pengetahuan, berkongsi pengalaman dan menggalakkan budaya bimbingan dalam kalangan komuniti pendidikan dan industri. -TVS