KUCHING, 23 Mei: Ayah kepada Muhammad Fayyadh Hadif berusia 4 tahun 3 bulan, kanak-kanak yang menderita menghidap penyakit kegagalan fungsi hati sejak lahir memohon semua mendoakan urusan pembedahan anaknya itu di Hospital Renji Shanghai China dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
Masli Bojeng, 54, berkata, dia bersama anak dan isteri serta seorang kakitangan Pertubuhan Biliary Artesia Malaysia (BAMA) berangkat ke negara itu menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.40 pagi ini.
“Kita dijangka akan berada di Shangai selama sebulan, ini bergantung dengan keadaan Fayyadh selepas selesai pembedahan dijalankan nanti.
“Saya memohon semua masyarakat mendoakan urusan kami dipermudahkan dan semuanya berjalan lancar agar Fayyadh kembali sihat seperti kanak-kanak yang lain,” katanya kepada TVS hari ini.
Katanya, pembedahan anaknya akan diadakan serentak dengannya yang akan mendermakan organ hati kepada anak kesayangannya itu.
“Pemindahan hati kali kedua ini perlu dilakukan segera memandangkan pemindahan hati pertama yang dilakukan sebelum ini tidak menunjukkan kejayaan sepenuhnya.
“Pemindahan hati pertama dilakukan menerusi organ hati yang didermakan isteri saya Hanifah Salam, 39, yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas pemindahan pertama dilakukan komplikasi saluran darah Fayyadh masih tersumbat,” ujarnya.
Katanya, dalam masa setahun Doktor PPUM berusaha untuk membuka saluran darah tetapi masih tidak berjaya dan menjejaskan fungsi hati yang menyebabkan hatinya beransur rosak balik.
“Urusan dokumentasi dan “Ethical Approval” dari kerajaan China telah pun diluluskan yang diurus sepenuhnya BAMA.
“Saya berterima kasih kepada seluruh masyarakat yang merealisasikan impian untuk anak saya menjalani pembedahan selepas tabung yang dilancarkan sejak 21 April lalu berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM188,522 daripada jumlah kutipan yang diperlukan sebanyak RM185,000,” jelasnya.-TVS