Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pesawat FA-18D Hornet yang lebih dikenali peminat dunia ketenteraan Malaysia sebagai Pikachu. Foto TVS

Di sebalik gerakan isyarat LIMA’25

ByLuqman Muhammad

LANGKAWI, 23 Mei: Dalam gemuruh enjin pesawat yang menderu-deru, wujud satu sosok penting yang jarang disedari namun tanpanya, tiada satu pun pergerakan dapat dimulakan.

Individu penting yang tampil dengan gerakan tangan yang tepat dan berwibawa, marsyal udara, memegang tanggungjawab besar untuk memberi isyarat pelepasan kepada pesawat sebelum memulakan demonstrasi.

Menurut Ketukangan Avionik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Koperal Udara Wankhairunisham Abd Gafur A Wandan, peranannya bukan sekadar memberi arahan dengan isyarat tangan namun mengawal pelepasan setiap pesawat yang mengambil bahagian dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

“Saya di sini sebagai marsyal udara untuk pesawat FA-18D Hornet yang dikenali sebagai ‘Pikachu’.

“Peranan saya ialah memberi arahan kepada juruterbang dan pada masa sama menerima maklumat dari kru penyelenggaraan. Kami bertindak sebagai mata dan tangan kepada juruterbang di atas pesawat,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.

Kelihatan ringkas, namun setiap gerakan tangan itu adalah hasil latihan yang memakan masa berbulan-bulan, penghafalan susunan isyarat (sequence) dan koordinasi ketat yang perlu dilakukan tanpa sebarang kesilapan.

Marsyal udara memegang tanggungjawab besar untuk memberi isyarat pelepasan kepada pesawat sebelum memulakan demonstrasi. Foto TVS

Jelasnya, bagi pesawat tempur seperti FA-18D Hornet, terdapat 23 isyarat pergerakan atau ‘sequence’ yang perlu dilaksanakan sebelum pelepasan.

“Kesemua 23 ‘sequence’ ini mengambil masa lebih kurang 30 minit. Setiap pergerakan ada makna tersendiri dan ia perlu dilakukan dalam turutan yang betul untuk memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan pesawat,” ujarnya.

Meskipun hanya berdiri di tepi landasan, peranan marsyal udara amat besar sebagai orang terakhir yang memberi lampu hijau kepada juruterbang sebelum pesawat terbang ke langit.

“Harapan saya, masyarakat luar terutamanya generasi muda, dapat melihat bahawa tugas ini bukan biasa-biasa.

“Mereka yang berminat boleh mula dengan mengambil diploma ketenteraan dalam bidang automotif atau elektrikal. Insya-Allah, ia boleh membuka peluang ke arah menjadi Marshal Learner,” tambahnya.

Di sebalik persembahan udara yang menakjubkan dan sorakan ribuan pengunjung di LIMA’25, hanya sebilangan yang sedar bahawa setiap detik itu bermula dengan satu gerakan tangan kecil namun penuh makna. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan