KUCHING, 23 Mei: Deklarasi Bersama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai bukti jelas pengiktirafan terhadap kerangka kawal selia Sarawak khususnya menerusi Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016), yang menjadi asas kepada perkongsian strategik dalam sektor minyak dan gas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa deklarasi ini mengesahkan pendirian bahawa undang-undang Persekutuan dan Sarawak perlu wujud secara harmoni dan dihormati oleh semua pihak.
“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan Deklarasi Bersama ini sebagai manifestasi jelas saling menghormati dan mengiktiraf rangka kerja kawal selia Sarawak, khususnya Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Sri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.
Kerangka kerjasama yang dimeterai ini katanya akan memberi kejelasan kepada pemain industri, di samping memperkukuh peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di negeri ini.
“Rangka kerja kerjasama ini bukan sahaja akan memberikan kepastian dan kejelasan kepada industri minyak dan gas di Sarawak, khususnya pengiktirafan terhadap peranan PETROS sebagai agregator gas,” tambah beliau.
Abang Johari turut menegaskan bahawa semua entiti yang terlibat dalam pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas di Sarawak perlu mematuhi DGO 2016, sejajar dengan hasrat Sarawak untuk memacu pembangunan sektor tenaga secara mapan.
Dalam konteks projek masa depan yang melibatkan rakan kongsi antarabangsa, beliau berkata sebarang operasi PETRONAS di Sarawak perlu melalui kerjasama dengan Petros.
Mengulas mengenai kehadiran PETRONAS di Sarawak, beliau menjelaskan bahawa syarikat nasional itu boleh diberi pengecualian operasi sekiranya memohon melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak.
“Kami memberi mereka (PETRONAS) pengecualian, jika mereka memohon melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi… tetapi mereka perlu memberitahu kami, kemudian kami akan beri pengecualian,” katanya.
Menurut beliau lagi, kuasa meluluskan lesen operasi adalah di bawah bidang kuasa kementerian tersebut, dan keputusan pengecualian dibuat dengan mengambil kira kedudukan PETRONAS sebagai syarikat nasional.
Deklarasi Bersama ini dilihat sebagai titik tolak penting dalam memastikan peranan dan hak Sarawak dalam sektor tenaga dihormati serta menyokong aspirasi negeri itu untuk menjadi hab tenaga utama di rantau ASEAN. -TVS