Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awla Dris menekankan pelan mitigasi bukan sahaja penting untuk keselamatan fizikal penduduk malah menjamin kelangsungan pembangunan luar bandar secara holistik dan berdaya tahan. Foto UKAS

Cerun runtuh berulang cetus kebimbangan penduduk

ByRegina Lee

KUCHING, 23 Mei: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera dengan merangka pelan mitigasi cerun menyeluruh bagi menangani kejadian tanah runtuh berulang di Kampung Gunung Ngeli, Simunjan.

Menurutnya, kawasan tersebut mengalami tiga insiden tanah runtuh dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini iaitu pada 30 Januari, 3 Februari dan 2 Mac yang berpunca daripada hujan lebat berterusan serta struktur tanah rapuh di bekas tapak lombong arang batu.

“Kejadian ini berpunca daripada hujan lebat berterusan menyebabkan pergerakan tanah aktif di kawasan cerun yang dulunya merupakan bekas lombong arang batu dan kini dimajukan sebagai tanah pertanian milik bergeran.

“Struktur tanah yang sudah tua dan rapuh ini ibarat dinding pasir yang kian haus ditelan air, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan kestabilan kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di DUN hari ini.

Sehubungan itu, Awla mencadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk segera menjalankan siasatan geoteknikal menyeluruh di kawasan berkenaan.

“Perlu ada pelan mitigasi cerun yang bersesuaian, saya juga mencadangkan agar disediakan peruntukan khas kecemasan serta sokongan teknikal daripada agensi negeri dan persekutuan agar tragedi lebih besar dapat dielakkan,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekangan dihadapi Majlis Daerah Simunjan dari segi kepakaran teknikal dan sumber kewangan sekali gus menyukarkan pelaksanaan langkah pencegahan secara berkesan.

Awla menekankan pelan mitigasi bukan sahaja penting untuk keselamatan fizikal penduduk malah menjamin kelangsungan pembangunan luar bandar secara holistik dan berdaya tahan.

“Komuniti yang makmur ibarat pokok yang kukuh, jika akar longgar dan tanahnya runtuh, maka rapuhlah seluruh batangnya,” jelasnya.

Beliau berharap semua pihak terbabit dapat mengambil tindakan pantas dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat serta kesinambungan pembangunan Simunjan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan