BANDAR SERI BEGAWAN,23 Mei: Beberapa pos kawalan imigresen Brunei akan melanjutkan waktu operasi sehingga jam 12 tengah malam selama tiga hari bermula hari ini, sempena Festival Beyond Waves and Rhythm yang berlangsung hingga 25 Mei.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam dalam kenyataan hari ini berkata lanjutan masa sehingga 12 tengah malam itu melibatkan Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan, Pos Kawalan Sementara Labu, Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah dan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh.
“Lanjutan masa operasi sehingga 12 tengah malam itu dalam tempoh sambutan acara Beyond Waves and Rhythm Celebrating Dragon Boat Racing, Line Folk Dance and Food Festival 2025 pada 23 hingga 25 Mei ini,” katanya.
Sementara itu katanya permohonan bagi perlanjutan tempoh operasi pos kawalan bagi sambutan Hari Gawai Dayak dan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak akan dimaklumkan kemudian.-TVS.