KUCHING, 23 Mei: Pihak bomba memberikan bantuan khas selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap dalam sebuah kereta di hadapan Satex India Street di sini, hari ini.
Komander Operasi, Mazelan Maderi, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.11 petang sebelum menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kanak-kanak tersebut didapati terperangkap dalam kereta Perodua Bezza. Pasukan bomba membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Operasi mengambil masa kira-kira enam minit dan kanak-kanak itu diserahkan dalam keadaan selamat kepada ibunya,” ujarnya. – TVS