KUCHING, 23 Mei: Lembaga Amanah Kebajikan Masyarakat Melanau Sarawak (LAKKMS) bakal membangunkan projek baharu di Kuching melalui pembinaan bangunan sembilan tingkat bernilai RM55 juta yang dinamakan sebagai Lebuk Melanau.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek itu akan dimanfaatkan bukan sahaja oleh masyarakat Melanau tetapi juga penduduk Kuching secara keseluruhan melalui penyediaan pelbagai kemudahan moden dan strategik.
“Tanah berkeluasan lebih dua ekar ini dimiliki oleh LAKKMS sejak hampir 40 tahun lalu dan terletak di kawasan strategik berhampiran Universiti Swinburne, Borneo Medical Centre dan Pusat beli-belah The Spring.
“Antara kemudahan yang dirancang ialah 110 unit pangsapuri servis, dewan, dobi, kantin serta ruang kerja bersama (co-working space). Kita melihat potensi besar untuk menarik golongan profesional, pensyarah luar negara dalam cuti sabatikal dan pelancong perubatan,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau turut memperkenalkan Pengerusi LAKKMS yang baharu, Awang Zamhari Awang Mahmood yang juga Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Len menjelaskan, reka bentuk dan konsep bangunan tersebut telah siap dan projek kini berada di peringkat perincian untuk ditenderkan sekitar Ogos atau September tahun ini dengan sasaran siap dalam tempoh tiga tahun.
“Kita turut menerima pandangan strategik daripada Premier Sarawak untuk menambah baik pelan asal agar pembangunan ini lebih berimpak dan bersesuaian dengan lokasi. Jadi, kita akan buat sedikit semakan semula terhadap reka bentuk,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, lokasi projek yang berhampiran dengan institusi pendidikan dan kemudahan kesihatan utama menjadikannya sesuai sebagai hab penginapan jangka pendek mahupun jangka panjang khususnya bagi pakar luar negara yang datang berkhidmat di Sarawak.
“Kita juga mahu mengambil peluang dalam sektor pelancongan pendidikan dan pelancongan perubatan. Kita akan berusaha sedaya-upaya untuk ianya siap sebelum penganjuran temasya Sukan SEA 2027 nanti,” jelasnya.
Len berkata, nama rasmi untuk bangunan tersebut masih terbuka bergantung kepada pandangan dan cadangan Premier Sarawak.-TVS