KUCHING, 23 Mei: Affin Bank dicadang membuka cawangan baharu di Permyjaya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, ia bagi memenuhi keperluan penduduk dan komuniti perniagaan yang semakin berkembang di kawasan tersebut.
“Melihat kepada saiz dan kadar pembangunan pesat di Permyjaya dan kawasan berhampiran, terdapat keperluan mendesak untuk kemudahan perbankan tambahan.
“Penduduk di kawasan ini telah beberapa kali menyuarakan permintaan agar sebuah lagi bank perlu dibuka di Permyjaya,” katanya ketika kunjungan hormat Pengarah Perbankan Affin Bank Sarawak Victor Liew Wui Tak di pejabat beliau di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, Permyjaya dan kawasan sekitarnya pada masa ini hanya mempunyai sebuah bank untuk menampung keperluan lebih kurang 150,000 penduduk.
Menurutnya, selain jumlah penduduk yang ramai, kawasan itu turut menempatkan lebih daripada seribu premis komersial termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pasar raya, sebuah hospital swasta, institusi pendidikan dan sekolah.
Pada masa sama, Kim Shin berharap Affin Bank untuk mempertimbangkan pembukaan kaunter perkhidmatan di Senadin bagi membantu penduduk yang layak memohon Kad Debit Kenyalang Affin Bank. – TVS