KUCHING, 23 Mei: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon mencadangkan agar Daerah Belaga diiktiraf sebagai bahagian baharu Sarawak yang ke-13 dalam usaha memperkukuh pentadbiran serta mempercepat pembangunan luar bandar selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurut beliau, Daerah Belaga yang kini berada dalam Bahagian Kapit meliputi keluasan 19,050 kilometer persegi menjadikannya daerah terbesar di Sarawak.
Justeru beliau menyifatkan ia wajar dinaik taraf menjadi pusat pentadbiran bertaraf bahagian.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar Daerah Kecil Sungai Asap diangkat sebagai Daerah Penuh dan Pekan Tubau sebagai Daerah Kecil.
“Keperluan mewujudkan bahagian baharu ini adalah penting bagi memantapkan sistem pentadbiran dan merancakkan pembangunan di kawasan luar bandar khususnya bagi menjayakan hasrat menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujar beliau semasa sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan potensi besar yang dimiliki Belaga dari aspek ekonomi dan sumber asli termasuk dua empangan mega iaitu Bakun dan Murum serta kawasan perladangan kelapa sawit yang luas.
Tambahnya, Belaga juga kaya dengan biodiversiti, flora dan fauna, tasik semula jadi serta warisan budaya dan kesenian unik etnik Orang Ulu yang berpotensi tinggi sebagai tarikan eko-pelancongan dan pelancongan budaya.
“Daerah ini berpotensi menjadi ‘The Real Living Cultural Heritage of Sarawak, Borneo’. Malah, kawasan tanah yang luas boleh dimanfaatkan untuk pembangunan pertanian berskala besar demi menjamin keselamatan makanan Sarawak,” tambahnya.
Selain itu, kedudukan strategik Belaga yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia yang bakal menempatkan ibu negara baharu Republik Indonesia, Nusantara menjadikan daerah ini berpotensi besar untuk merancakkan hubungan sosio ekonomi serantau.
“Sekarang adalah masa terbaik untuk menghargai pengorbanan penduduk tempatan yang telah memberi laluan kepada pembinaan dua empangan mega demi menerangi Sarawak sebagai ‘Battery of Sarawak’. Pengiktirafan Belaga sebagai bahagian baharu adalah simbol penghargaan dan pelaburan masa depan rakyat,” katanya lagi.
Beliau yakin langkah ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat di kawasan pedalaman, khususnya DUN Murum dan DUN Belaga serta membawa impak besar kepada pembangunan menyeluruh di Sarawak. – TVS