JAKARTA, 23 Mei: Sekurang-kurangnya 140 rumah dilaporkan rosak dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.3 magnitud yang menggegarkan wilayah Bengkulu, Indonesia, awal pagi tadi.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) memaklumkan, angka itu berdasarkan penilaian awal yang dikumpul setakat jam 9.00 pagi ini, selain beberapa kemudahan awam turut mengalami kerosakan.
Jurucakap BNPB, Abdul Muhari berkata, pihaknya kini sedang menjalankan penilaian kerosakan secara berperingkat serta pemetaan keperluan kecemasan di kawasan terjejas.
“Pasukan kami sedang mengenal pasti tahap kerosakan dan keperluan bantuan di lokasi yang terlibat. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan akibat kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara fasiliti awam yang terjejas termasuk sekolah, rumah ibadat dan hospital tempatan.
Tambah beliau, beberapa pusat pemindahan sementara telah ditubuhkan bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal atau bimbang dengan keselamatan kediaman masing-masing.
Gempa bumi yang berlaku pada jam 2.52 pagi itu berpusat di perairan barat daya Bengkulu pada kedalaman 10 kilometer, namun tidak mencetuskan ancaman tsunami.
Bagaimanapun, gegaran kuat yang dirasai mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang bertindak menyelamatkan diri keluar dari kediaman masing-masing.
Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai agar kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku gempa susulan. – TVS