Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abang Mohamad Porkan memasang topi keledar baharu kepada pengguna sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Bahagian Sibu sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2025 hari ini. Foto TVS

13 maut, 683 kes kemalangan di Sibu direkod setakat April

SIBU, 23 Mei: Sebanyak 683 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Bahagian Sibu dari Januari hingga April tahun ini, dengan 13 kematian dicatatkan, menurut statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, menyifatkan jumlah tersebut sebagai amat membimbangkan, sambil menyeru semua pihak agar menjadikan keselamatan jalan raya sebagai keutamaan bersama.

“Setiap angka ini bukan sekadar statistik. Ia mewakili kehilangan nyawa, masa depan yang terhenti, serta kesedihan keluarga yang sukar diganti. Justeru, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kolektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Bahagian Sibu sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2025 di stesen Petronas Lanang Barat hari ini.

Abang Mohamad Porkan yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Sibu turut menegaskan bahawa perubahan sikap pengguna jalan raya merupakan kunci kepada penurunan kadar kemalangan.

“Sikap memandu dalam keadaan mengantuk, melanggar had laju, dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu perlu dihentikan. Tanpa perubahan ini, segala inisiatif yang kita jalankan tidak akan memberi kesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pihak kontraktor serta agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan agar menjalankan projek-projek jalan raya dengan penuh integriti, tanpa sebarang kompromi terhadap kualiti kerja.

“Kita tidak mahu lagi mendengar alasan seperti keadaan muka bumi tidak rata atau beralun. Kita mesti melaksanakan kerja mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan memastikan setiap projek diuji serta direkodkan hasilnya untuk memasikan keselematan pengguna,” tegas beliau.

Tambahnya, pihak pelaksana perlu sentiasa turun padang dan mengambil maklum balas masyarakat secara langsung, termasuk kritikan daripada pengguna jalan raya dan netizen.

“Kita tidak boleh biarkan masyarakat terus melabel jalan yang dibina sebagai ‘jalan tampal’. Integriti dalam pelaksanaan projek infrastruktur mesti menjadi keutamaan,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan komitmen Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Sibu dalam memperkukuhkan sistem keselamatan dan pengangkutan awam setempat melalui mesyuarat berkala bersama Jawatankuasa Pengurusan Pengangkutan Bandar Daerah (DUTMAC) dan Jawatankuasa Pengangkutan Awam Daerah (DPTC).

“Saya berharap mesej keselamatan ini akan dibawa pulang dan diamalkan oleh setiap individu, agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan