KUCHING, 22 Mei: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memaklumkan mengenai gabungan pemimpin baharu dan lama.
Ketuanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kunjungan tersebut juga adalah untuk membincangkan mengenai hala tuju, penekanan, pelaksanaan program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang sesi 2025 hingga 2027.
“Kita turut mengambil kesempatan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Premier Sarawak mengenai langkah terbaik ke hadapan demi memperkuh peranan dan sumbangan Wanita PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Pergerakan Wanita PBB mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Turut hadir Naib Ketua Wanita PBB III Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Penolong Ketua Penerangan Wanita PBB Datuk Rubiah Wang.
Baru-baru ini, berapa pemimpin Pergerakan Wanita PBB dilantik untuk memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PBB Sesi 2025 hingga 2028.
Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim dilantik sebagai ahli majlis tertinggi.
Wakil Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita turut dilantik merangkumi Datin Sri Angelina Ujang, Dato Sri Nancy Shukri, Umang Nangka Jabu, Datuk Rubiah Wang dan Dayang Noorazah Awang Sohor. -TVS