PUTRAJAYA, 22 Mei: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiat usaha mengesan individu dan saksi terlibat dalam penerokaan haram tanah di Raub, Pahang sejak 2004, yang dipercayai bagi tujuan penanaman durian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terbaharu ini merupakan lanjutan daripada kes yang pernah dibuka pada tahun 2021, namun diperluaskan meliputi tempoh dari tahun 2004 hingga kini.
“Kes 2021 dahulu kita aktifkan semula, namun kita juga buka kertas siasatan baharu dengan mengambil garis masa berhubung penerokaan ini bermula 2004 sehingga 2025.
“Saksi-saksi dari tempoh tersebut ada yang sukar dikesan, mungkin kerana sudah bersara atau bertukar jabatan. Ini boleh melambatkan proses pengambilan keterangan.
“Berbeza dengan saksi terkini yang lebih mudah dipanggil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada Khamis.
Menurut beliau, setakat ini seramai 38 saksi termasuk peneroka, peguam, pihak syarikat, pegawai jabatan kerajaan dan lain-lain telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Antara individu lain yang dipanggil adalah mereka dari pejabat hutan daerah, pejabat daerah dan tanah, unit penguatkuasa negeri Pahang serta pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Azam juga memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menyiasat kes ini di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pertimbangan itu ekoran kesalahan menceroboh dan menggunakan harta bukan pemilikan untuk tujuan faedah masing-masing.
“SPRM juga sedang mempertimbang (siasat) di bawah seksyen 403 kanun keseksaan – undang-undang ini merupakan satu kesalahan, sekiranya mana-mana orang menggunakan harta secara curang, menggunakan harta jenayah secara curang.
“Yang mana dalam hal ini, suatu harta iaitu tanah itu bukan milik mereka, sekiranya betul, digunakan secara curang bagi tujuan faedah masing-masing,” jelasnya kepada pemberita. -TVS