KUCHING, 22 Mei: Kerajaan Sarawak dan Indonesia mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kerjasama dua hala berkaitan pengurusan pekerja migran dengan penekanan kepada kelancaran proses pengambilan, peluasan sektor pekerjaan serta peningkatan perlindungan kebajikan pekerja.
Perkara tersebut dimuktamadkan dalam pertemuan rasmi antara Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Pelindungan Pekerja Migran Indonesia, Abdul Kadir Karding yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Menurut Rundi, beberapa perkara dikemukakan dan pihaknya memahami bahawa pengambilan pekerja haruslah lebih lancar dari segi proses, kebajikan serta perlindungan.
“Pihak Indonesia telah melatih pekerja untuk sektor yang telah kita pilih, dan kami di Sarawak menyediakan perlindungan serta kebajikan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja melibatkan sektor perladangan dan pertanian malah turut diperluaskan kepada sektor profesional seperti doktor haiwan, jurutera dan tenaga mahir lain yang diperlukan dalam pembangunan Sarawak serta kawasan Kalimantan di Indonesia.
Rundi turut mengesahkan bahawa beliau telah dijemput oleh pihak Indonesia untuk melakukan lawatan kerja bagi meneroka kerjasama lanjut.
“Kita akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan lagi kerjasama ini termasuk menangani isu pekerja tanpa dokumen secara bersepadu,” ujarnya.
Beliau menambah Sarawak kini sedang memperkemas proses pengambilan melalui integrasi antara Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja yang membolehkan proses visa tenaga kerja diselesaikan dalam tempoh 45 hari sahaja berbanding tempoh yang lebih lama sebelum ini.
Sementara itu, Abdul Kadir Karding menyatakan penghargaan atas layanan baik yang diberikan oleh Sarawak kepada lebih ramai rakyat Indonesia yang bekerja di wilayah ini.
Beliau memaklumkan Indonesia mempunyai tenaga kerja berjumlah 152.2 juta orang dan dengan itu mereka bersedia menghantar pekerja berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan di Sarawak.
Selain itu, kedua-dua pihak turut mencapai kesepakatan untuk mengurangkan penghantaran pekerja secara tidak sah (non-procedural) yang menimbulkan beban kepada kedua-dua negara dari segi keselamatan dan perlindungan.
“Kami sedang membaiki sistem domestik untuk meminimumkan penghantaran pekerja secara non-procedural.
“Kami berharap Sarawak juga membantu mengurangkan kemasukan pekerja tidak sah ini kerana ia menjadi isu bersama,” jelasnya.
Pra perbincangan untuk MoU tersebut dijangka diadakan pada Julai ini yang mana delegasi Sarawak akan mengadakan kunjungan balas ke Indonesia untuk perbincangan lanjut dengan pelbagai kementerian berkaitan.
Langkah tersebut dijangka memperkukuh hubungan dua hala dan menjadikan Sarawak sebagai model pengurusan pekerja migran yang beretika, profesional dan mampan. -TVS