Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Zaidi Nasar berkata sebagai negeri yang pesat membangun selepas mencapai kemerdekaan, Sarawak bertanggungjawab memastikan keadilan sosial dan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara.

Pastikan hak pekerja Sarawak terjamin dalam era kemajuan

KUCHING, 22 Mei: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak menyeru semua pekerja di negeri ini agar bertindak proaktif dalam menuntut hak mereka, selaras dengan Pindaan Ordinan Buruh Sarawak yang telah mula berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.

Pengerusinya, Zaidi Nasar berkata sebagai negeri yang pesat membangun selepas mencapai kemerdekaan, Sarawak bertanggungjawab memastikan keadilan sosial dan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara.

“Pemerkasaan tenaga kerja merupakan asas kepada pembangunan ekonomi yang mampan. Oleh itu, pematuhan terhadap Ordinan Buruh Sarawak amat penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih adil, selamat dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, antara perubahan penting yang diperkenalkan melalui pindaan ordinan tersebut termasuk liputan menyeluruh malah, ordinan kini terpakai kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau sektor pekerjaan.

“Cuti bersalin dan paterniti, tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti tujuh hari diperkenalkan bagi memberi sokongan kepada isteri yang melahirkan anak,” katanya.

Beliau berkata, pengurangan waktu bekerja, mingguan waktu bekerja dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam, demi keseimbangan lebih baik antara kerja dan kehidupan peribadi.

Begitu juga cuti sakit dan hospitalisasi yang kini diperuntukkan secara berasingan iaitu 14 hari cuti sakit biasa dan 60 hari cuti hospitalisasi, menjadikan jumlah keseluruhan 74 hari.

Menurutnya, pindaan turut merangkumi peruntukan baharu bagi menangani diskriminasi, buruh paksa, gangguan seksual serta memantapkan hak terhadap tempat tinggal selamat dan aturan kerja anjal.

“Justeru, pekerja layak menerima enam hari cuti umum wajib termasuk Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Hari Keputeraan Raja-Raja, Yang di-Pertua Negeri, Hari Pekerja, Hari Malaysia dan satu hari yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Majikan yang melanggar peruntukan ordinan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000,” katanya.

Sehubungan itu, MTUC Sarawak turut menggesa kerjasama erat antara pekerja, majikan dan pihak berkuasa bagi memastikan pelaksanaan ordinan ini memberi manfaat sepenuhnya kepada seluruh tenaga kerja di negeri ini.

Antara langkah yang disarankan termasuk peningkatan kesedaran melalui sesi penerangan dan bengkel, advokasi dan sokongan kepada pekerja yang menjadi mangsa ketidakadilan, serta dialog terbuka antara pekerja dan majikan bagi membina hubungan kerja yang harmoni.

“Pemantauan dan penguatkuasaan berkesan amat penting agar hak pekerja tidak diabaikan. Dalam masa yang sama, kesatuan sekerja dan organisasi berkaitan perlu terus menyokong usaha memartabatkan hak pekerja di Sarawak,” ujarnya.

Beliau menegaskan komitmen MTUC untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja di Sarawak.

“Masa depan negeri ini bergantung kepada tenaga kerja yang sejahtera. Pematuhan terhadap Ordinan Buruh Sarawak adalah asas kepada kejayaan bersama,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pekerja boleh melayari laman web rasmi Jabatan Tenaga Kerja Sarawak atau menghubungi MTUC Bahagian Sarawak melalui e-mel: agsmtucswk@gmail.com. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan