KUCHING, 22 Mei: Kerajaan Sarawak melantik MEASAT Global Berhad sebagai konsultan dalam membangunkan pelan hala tuju aeroangkasa.
Ketua Pegawai Operasi MEASAT Satellite Systems, Yau Chyong Lim berkata, pelan itu telah dibentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
“Pada ketika ini, MEASAT dilantik sebagai konsultan kepada Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) untuk membangunkan pelan hala tuju aeroangkasa Sarawak.
“Kami membantu SMA untuk membangunkan itu dan telah dibentangkan kepada Premier Sarawak. Untuk butirannya, kita biarkan ia diumumkan sendiri oleh Premier Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurutnya, kunjungan hari ini sedikit sebanyak membincangkan tentang sumbangan dan penglibatan syarikat itu kepada komunikasi Sarawak.
“Dalam pertemuan tadi, kami menyampaikan sedikit taklimat kepada Premier Sarawak mengenai MEASAT, sumbangan dan penglibatan terhadap bidang komunikasi Sarawak serta perancangan masa depan antara Kerajaan Sarawak dan MEASAT,” ujarnya. – TVS