PUTRAJAYA, 22 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan syarikat kecerdasan buatan (AI) tempatan, MaiStorage, sebagai pencapaian luar biasa dengan ia berjaya mencatatkan keuntungan luar jangka hanya dalam tempoh beberapa bulan selepas beroperasi.
Menurutnya, kejayaan MaiStorage membolehkan kerajaan menunjukkan komitmennya terhadap transformasi digital yang merupakan salah satu keutamaan masa depan di rantau ini semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei ini.
“Hari ini bukan sekadar pelancaran biasa, tetapi sesuatu yang menggembirakan dan boleh dikongsi serta disokong oleh negara jiran.
“Kita (Malaysia) juga akan terus menyokong pembangunan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) di negara-negara jiran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MaiStorage di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, transformasi digital kekal menjadi strategi utama negara khususnya dalam bidang AI, namun mengakui Malaysia masih belum menembusi tahap seterusnya dalam industri itu.
“Kita juga sedar bahawa selepas enam hingga tujuh dekad, kita masih belum sampai ke tahap seterusnya, walaupun usaha pembungkusan dan reka bentuk sudah bermula.
“Masih jauh perjalanan yang perlu ditempuh, tetapi MaiStorage adalah langkah tepat ke hadapan.”
“Ia memberikan dorongan istimewa dalam bidang AI dan ini menjadi kebanggaan kita,” ujarnya.
MaiStorage iaitu anak syarikat Phison Electronics Corporation yang berpangkalan di Taiwan yang kini menerajui usaha untuk mendorong Malaysia ke arah era AI generatif dan meletakkan negara sebagai kuasa besar yang berpotensi dalam industri reka bentuk litar bersepadu (IC) global.- TVS