PUTRAJAYA, 22 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia bersama negara anggota ASEAN perlu meningkatkan daya saing dalam membangunkan hab digital serantau yang mampan dan kompetitif.
Beliau berkata, Malaysia sudah membina reputasi sebagai destinasi stabil dengan dasar yang jelas dalam pembangunan digital, dan pendekatan ini wajar dikembangkan ke peringkat serantau.
“Selain Malaysia, tentunya ASEAN juga akan menjadi lebih kompetitif dalam hab ini. Malaysia sudah mendapat reputasi itu melalui kestabilan dan kejelasan dasar kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MaiStorage di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MaiStorage, Datuk Pua Khein Seng.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, atas peranan penting dalam mendukung usaha transformasi digital negara.
“Semasa kita lancarkan transformasi digital itu, dengan meneliti beberapa dasar kita, ia jelas menunjukkan ketetapan dan beberapa keutamaan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk terus menyokong pembangunan pendigitalan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan negara jiran.