KUCHING, 22 Mei: Mahkamah Bumiputera Sarawak akan menjalani proses penstrukturan semula yang melibatkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) baharu dan pindaan kepada ordinan sedia ada.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, bagi membolehkan penstrukturan semula dilakukan, Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 sedia ada perlu dimansuhkan dan digantikan dengan Ordinan Mahkamah Bumiputera yang baharu.
“Oleh itu, satu RUU Mahkamah Bumiputera atau new Native Courts Bill akan dirangka dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri yang akan datang.
“Selain itu, new Native Courts Judges Appointment Council and Native Courts Judges Remuneration Bill juga akan dirangka dan dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini nanti.
“Pada masa sama, pindaan perlu dibuat ke atas Ordinan Majlis Adat Istiadat Sarawak 1977,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus mengenai perkembangan terkini kajian naik taraf status Mahkamah Bumiputera Sarawak dan implikasinya terhadap pentadbiran serta penguatkuasaan Undang-Undang Adat Bumiputera secara keseluruhannya apabila dikuatkuasakan nanti.
Menurutnya, penstrukturan semula Mahkamah Bumiputera Sarawak di bawah RUU baharu kelak melibatkan perubahan dalam struktur pentadbiran dan bidang kuasa mahkamah.
Mengulas lanjut, Jefferson berkata, antara implikasi penstrukturan semula itu termasuk pengendalian kes-kes mahkamah oleh majistret dan hakim bertauliah serta berkelayakan dalam bidang undang-undang di setiap empat peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Bumiputera Majistret, Mahkamah Tinggi Bumiputera, Mahkamah Bumiputera Rayuan dan Mahkamah Bumiputera Agung.
Ini sekali gus menandakan pengurusan dan perbicaraan kes-kes mahkamah akan lebih sistematik dan profesional setara dengan pengurusan kes di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. -TVS