LANGKAWI, 21 Mei: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) bakal membuka tirainya kepada orang awam bermula 23 hingga 24 Mei ini, selepas tiga hari pertama berlangsung secara eksklusif untuk pemain industri, delegasi antarabangsa dan tetamu kenamaan.
Edisi ke-17 LIMA telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu, menandakan permulaan rasmi kepada pameran pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Asia Tenggara itu.
Bagi pengunjung awam, pelbagai tarikan menarik menanti termasuk demonstrasi udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pameran kapal perang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), teknologi dron terkini, serta ruang interaktif simulasi penerbangan yang jarang dapat dirasai secara dekat.
Persiapan rapi kini sedang dijalankan merangkumi kawalan keselamatan, pengurusan laluan pengunjung serta penyusunan reruai bagi memastikan pengalaman terbaik buat para pengunjung pada dua hari terbuka kelak.
Lebih membanggakan, syarikat-syarikat tempatan turut diberi ruang mempamerkan teknologi dan inovasi buatan Malaysia memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri sumbangan anak tempatan dalam industri pertahanan dan aeroangkasa negara.
Orang ramai disarankan merancang lawatan mereka lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri kehebatan teknologi serta keupayaan pertahanan negara di pentas antarabangsa.
Tiket masuk boleh didapati melalui laman rasmi LIMA 2025 di https: registration.lima2025.com/. – TVS