LANGKAWI, 22 Mei: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) memeterai kontrak keseluruhan bernilai RM11 bilion sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), sekaligus mencatat pencapaian penting dalam landskap pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata nilai itu merangkumi 40 kontrak utama, dua Surat Niat (Letter of Intent/LOI) bernilai lebih RM30 juta dan enam Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama strategik antara MINDEF dan pemain industri pertahanan tempatan serta antarabangsa.
“Pecahan perbelanjaan tersebut dibahagikan kepada lima kategori utama iaitu perolehan aset strategik untuk pertahanan darat, maritim, udara, keselamatan siber, serta aspek kebajikan dan kemudahan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Kontrak, SST, LOI dan MoU di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini.
Antara rundingan paling signifikan yang diumumkan ialah perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) beserta pembinaan infrastruktur berkaitan daripada syarikat tempatan, MILDEF Technologies Sdn Bhd, dengan anggaran kos projek RM1.8 bilion.
Beliau memberitahu, langkah ini dijangka meningkatkan tahap kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia, di samping memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan melalui penglibatan teknologi tempatan dan pemindahan pengetahuan.
Dalam pada itu, MINDEF juga menekankan keutamaan terhadap kebajikan anggota tentera dengan memulakan projek Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) baharu di Kem Terendak, Melaka, bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah berusia lebih 50 tahun.
Hospital terbabit dijangka dilengkapi teknologi perubatan moden dan kemudahan rawatan yang lebih canggih.
Beliau menambah, kementerian turut menekankan pembangunan aset berteknologi tinggi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan keupayaan siber.
“Pendekatan ini membuka ruang kepada pembangunan industri pertahanan nasional yang lebih berdaya saing di peringkat global,” jelasnya.
Majlis turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, serta panglima-panglima perkhidmatan dan delegasi tertinggi MINDEF. – TVS