KUCHING, 22 Mei: Kajian tinjauan hidrografi perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kedalaman dan mendapan yang berlaku sehingga menyebabkan banjir di Bintulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, hasil daripada kajian itu, kerajaan boleh melaksanakan tindakan jangka pendek dan panjang dalam menangani isu banjir.
“Tindakan yang boleh diambil termasuk mengorek sungai, kolam tebatan banjir, menaik taraf sistem perparitan, memperbanyakkan longkang monsun di penempatan penduduk yang ramai dan padat serta penempatan semula penduduk terjejas akibat banjir,” katanya dalam ucapan perbahasan pada Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Menurutnya, pada 29 Januari lalu, Bintulu berdepan dengan musibah banjir luar biasa dan melumpuhkan aktiviti penduduk khususnya di Bandar Bintulu.
Tambahnya, selain punca semula jadi, faktor lain yang menyumbang kepada banjir di Bintulu adalah kelemahan dalam sistem perparitan yang menghalang Sungai Sibiew daripada mengalirkan air berlebihan secara berkesan menyebabkan paras sungai melonjak dengan cepat.
“Impak daripada banjir itu, komunikasi terjejas dan terputus sama ada jaringan jalan raya, perhubungan talian (telefon dan Internet) dan sebagainya.
“Kesan daripada ini menyebabkan kesukaran untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas kerana tidak dapat dikunjungi atau dihubungi,” ujarnya.-TVS