Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kes mahkamah PETROS-PETRONAS tidak terjejas Deklarasi Bersama

ByOdleen Catherny

KUCHING, 22 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kes mahkamah yang membabitkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) tidak akan terbatal meskipun deklarasi bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak ditandatangani baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, deklarasi bersama itu tidak memberi kesan langsung terhadap prosiding undang-undang yang sedang berjalan.

Perkara tersebut menurutnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak perundangan untuk ditangani mengikut proses yang sewajarnya.

“Tidak, kita serahkan kepada pihak perundangan untuk meneliti perkara tersebut kerana ada prosesnya. Andaikan jika kita mahu menggantungnya, mungkin akan ada penggantungan.

“Dan mungkin kelak ada penarikan balik tetapi kita serahkan kepada pihak perundangan sebab ada proses yang perlu diikuti,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkaitan deklarasi bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, di Dewan Sri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak menandatangani deklarasi bersama dalam usaha memartabatkan industri minyak dan gas negara.

Menurut Anwar, keadaan semasa menuntut kerajaan mengakui bahawa Sarawak mempunyai kematangan, keupayaan dan berkembang dalam industri minyak dan gas menerusi syarikat milik kerajaan negeri, PETROS.

Mengulas lanjut, deklarasi bersama itu menyaksikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengiktiraf dan menghormati Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan