KUALA LUMPUR, 22 Mei: Cadangan untuk menaikkan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun perlu dikaji secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, cadangan tersebut wajar diberi perhatian namun perlu melalui proses pertimbangan yang rapi, termasuk penilaian terhadap implikasi kewangan dan peluang pekerjaan.
“Kita belum bawa ke Kabinet. Biar mereka kaji implikasinya, kewangan, peluang pekerjaan baharu, kos dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Hadiah Bahasa Public Bank – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbang untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.
Cadangan tersebut merupakan pandangan peribadinya dan beliau menyingkap kerugian kepada individu tersebut kerana mereka masih lagi bertenaga dan mampu memberikan sumbangan besar dalam bidang pekerjaan masing-masing.
Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam ketika ini ditetapkan pada usia 60 tahun yang juga adalah usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012. – TVS