MIRI, 22 Mei: Ratu Rock tanah air, Ella, tampil bertenaga dan memukau ribuan penonton menerusi persembahan eksklusifnya sempena Konsert Berkat Gawai Kaamatan anjuran TVS di Stadium Tertutup Miri, malam Rabu.
Penyanyi legenda itu meluahkan rasa teruja dapat menyertai sambutan yang meraikan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia dalam suasana penuh semangat perpaduan.
“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan menyambut semua perayaan yang diraikan rakyat. Perpaduan inilah yang menjadikan Malaysia unik,” katanya ketika ditemui media sebelum naik ke pentas.
Menurutnya, Sarawak sentiasa berada dalam hatinya dan beliau menyimpan harapan untuk kembali menghiburkan peminat di negeri itu pada masa akan datang.
“Kepada semua peminat saya di Sarawak, saya sentiasa merindui anda. Saya harap dapat berjumpa lagi dan kita boleh berkonsert ramai-ramai,” katanya.
Mengimbau perjalanan seninya, penyanyi itu turut berkongsi pengalaman merakamkan album sulung antarabangsa, yang menurutnya memberi perspektif baharu terhadap kualiti muzik tempatan.
“Rakaman album itu satu pengalaman yang sangat membuka mata saya. Alhamdulillah, saya percaya industri muzik kita kini semakin matang dan setanding dengan luar,” katanya optimis.
Dalam perkembangan lain, bintang rock kesayangan ramai itu turut menyuarakan hasrat untuk berkolaborasi dengan bakat tempatan, khususnya dari Bumi Kenyalang.
“Kalau ada rezeki, saya teringin sangat nak bekerjasama dengan Noh Salleh. Saya suka gaya dan keunikan muzik dia,” ujarnya.