KUCHING, 22 Mei: Datuk Ahmad Ibrahim dipilih semula sebagai senator selepas tiada nama lain dikemukakan ahli dewan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Pencalonan Ahmad dicadangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan disokong Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Ahmad yang dipilih sebagai senator kali pertama pada 22 Julai 2022 dan tempoh perkhidmatannya berakhir 21 Julai lepas.
Pemilihan semula itu menyaksikan, tempoh perkhidmatan beliau disambung bemula 22 Julai.
Awang Tengah ketika mngemukakan pencalonan itu berkata, Ahmad menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1996.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Penerangan Ranting Kampung Paya Mebi (2009–2016) dan merupakan Pengerusi Cawangan PBB Batu Kawa sejak 2009 serta terus dipilih semula untuk beberapa penggal sehingga kini (penggal semasa berakhir pada tahun 2027).
Ahmad dipilih dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak semasa Perhimpunan Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB pada tahun 2018 dan 2025.
Selain itu, Ahmad kini berkhidmat sebagai Naib Presiden Majlis Senator Malaysia.
Ahmad dilahirkan di Hospital St Joseph, Kanowit pada 14 Ogos 1969 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) St Joseph, Kuching dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian sebelum melanjutkan pelajaran ke Ashbury College, Ottawa, Kanada.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dari tahun 2016 sehingga tahun 2023 dan memainkan peranan penting dalam menganjurkan acara utama seperti Bazar Ramadan MPP, Safari Rakit MPP Padawan, Pesta Telaga Air MPP, Cabaran Alam Semula Jadi Dataran Tinggi Borneo MPP dan Cabaran 4×4 Antarabangsa Padawan (2017).
Ahmad merupakan seorang pemimpin yang memberi sokongan tegar terhadap pembangunan belia dan sukan.
Beliau merupakan ahli seumur hidup SABERKAS sejak 2006 dan pernah menjadi Pengerusi SABERKAS Batu Kawa (2012–2016) dan kini Timbalan Pengerusi SABERKAS Batu Kitang (penggal ketiga hingga 2026).
Beliau dua kali dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi SABERKAS dan kini berkhidmat sebagai juruaudit dalaman.
Dalam bidang sukan, beliau merupakan Penaung PASC dan Kelab Muay Thai Kenyalang (sejak 2023) serta pernah dilantik sebagai Penolong Ketua Kontinjen Sarawak SUKMA 2010, 2018, 2022 dan 2024. -TVS