LANGKAWI, 22 Mei: National Aerospace and Defence Industries (NADI) dan Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) telah menjalin satu kerjasama strategik bagi menubuhkan Aerospace Academy Sarawak Sdn Bhd.
Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan CENTEXS, Norashikin Dahlan, penubuhan akademi ini bakal membuka ruang lebih luas kepada belia tempatan untuk menceburi bidang bernilai tinggi serta berteknologi tinggi.
Beliau berkata, akademi tersebut bakal menjadi pusat latihan utama dalam bidang pembuatan aeroangkasa dan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) di Malaysia Timur dengan perancangan untuk dikembangkan ke seluruh negara.
“Langkah ini sejajar dengan visi jangka panjang Sarawak untuk membina ekosistem tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan menempatkan negeri ini sebagai antara hab utama latihan industri berteknologi tinggi di Malaysia,” jelas beliau ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Majlis penyerahan rasmi Sijil Pemerbadanan oleh Aviation Design Centre kepada CENTEXS telah menandakan permulaan rasmi kerjasama antara kedua-dua pihak, seterusnya mengesahkan komitmen terhadap pembangunan sumber manusia dalam sektor aeroangkasa.
Latihan terbabit dirangka mengikut standard industri global, bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran semasa.
Penubuhan Aerospace Academy Sarawak bukan sahaja mengukuhkan keupayaan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Sarawak, malah menyumbang kepada agenda transformasi industri negeri serta menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam industri aeroangkasa serantau. – TVS