SIBU, 22 Mei: Hubungan strategik antara Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Mitsubishi Corporation Kuala Lumpur terus diperkukuh melalui program Biasiswa Antarabangsa MC KUL yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, berkata program itu merupakan inisiatif biasiswa antarabangsa pertama universiti berkenaan dan mencerminkan komitmen terhadap jaringan global serta kecemerlangan pendidikan.
“Lebih daripada bantuan kewangan, biasiswa ini mewakili jalinan kerjasama yang bermakna antara Sarawak dan Jepun serta mencerminkan nilai bersama seperti integriti dan impak sosial,” katanya dalam sidang media di kampus UTS pada Khamis.
Beliau berkata, sumbangan itu memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian tanpa beban kewangan, membolehkan mereka memberi tumpuan penuh kepada akademik dan kerjaya masa depan.
Menurutnya, usaha sedemikian turut menunjukkan kepercayaan pihak industri terhadap potensi institusi pendidikan negeri ini sebagai rakan strategik dalam pembangunan modal insan.
Sementara itu, Pengurus Besar Mitsubishi Corporation Kuala Lumpur, Kosuke Makino berkata, biasiswa berkenaan selari dengan komitmen korporat syarikat untuk memperkasa generasi muda agar dapat menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Beliau turut berkongsi bahawa sejak memulakan operasi di Malaysia pada 1959, Mitsubishi Corporation terus berkembang dalam pelbagai sektor termasuk sumber asli, makanan, automotif dan teknologi.
“Berdasarkan prinsip korporat kami iaitu tanggungjawab kepada masyarakat, integriti dan pemahaman global melalui perniagaan, kami percaya pelaburan dalam pendidikan mampu memberi kesan jangka panjang yang positif,” katanya.
Seramai lima pelajar menerima biasiswa untuk tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima sejak program bermula pada 2022 kepada 15 orang.
Mereka ialah Tiong Wei Jie, Pamela Louis, Darren Phang Jun Xuan, Dayang Nursyarmeen Abang Dahlan dan Lai Neng Jie.-TVS