KUCHING, 22 Mei: Kehadiran orang ramai ke Bazar Gawai Dayak 2025 bukan sahaja menyemarakkan sambutan tradisi, malah memberi lonjakan kepada ekonomi usahawan tempatan apabila produk jualan seperti makanan tradisional, kraf tangan dan cenderamata mendapat permintaan tinggi sepanjang penganjuran.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata penganjuran bazar secara langsung membuka peluang kepada vendor tempatan untuk memperkenalkan hasil produk mereka kepada pasaran lebih luas.
“Kehadiran orang ramai yang datang menyaksikan persembahan kebudayaan secara tidak langsung membantu melonjakkan jualan produk tempatan seperti makanan tradisional, hasil kraftangan, dan cenderahati,” katanya ketika berucap di Bazar Gawai Dayak 2025 di MJC Batu Kawa, malam tadi.
“Ini sekali gus akan memperkasakan ekonomi komuniti setempat, selain menjadi platform untuk mempromosikan kreativiti dan kemahiran warga tempatan kepada pasaran yang lebih luas,” tambahnya.
Selain manfaat ekonomi, Roland berkata acara tahunan itu juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kekayaan budaya suku-suku Dayak kepada masyarakat umum.
Acara Malam Kebudayaan Kaum Bidayuh yang berlangsung semalam menjadi antara tarikan utama, apabila pelbagai persembahan kebudayaan unik dipentaskan menerusi slot khas oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).
“Pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan telah disusun sebagai sebahagian daripada usaha komuniti Dayak untuk menonjolkan kekayaan warisan budaya kita pada setiap malam bersempena Bazar Gawai Dayak 2025 ini,” jelasnya.
“Komuniti Bidayuh, menerusi Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), telah diperuntukkan slot khas untuk mempersembahkan warisan budaya Bidayuh pada malam ini dan saya mengalu-alukan anda semua ke Malam Gawai Bidayuh 2025,” katanya lagi.
Menurut beliau, pendekatan ini juga dapat memupuk penghargaan terhadap warisan masyarakat Bidayuh, khususnya dalam kalangan generasi muda serta pelancong tempatan dan luar negara.
“Acara ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan serta memartabatkan warisan budaya masyarakat Bidayuh kepada masyarakat umum, terutamanya golongan muda dan pelancong yang berkunjung ke bazar dan wilayah ini sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang akan disambut pada 1 Jun ini,” ujar beliau.
Bazar Gawai Dayak 2025 yang bermula 15 Mei lalu bakal melabuhkan tirai pada 25 Mei dan setakat ini menerima kehadiran lebih 1,000 pengunjung setiap malam.