KUCHING, 22 Mei: Penganjuran Bazar Gawai 2025 merupakan usaha terancang bagi memartabatkan warisan budaya kaum etnik di Sarawak sekali gus menyediakan platform kepada usahawan belia untuk memajukan ekonomi mereka.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, idea Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) dalam memberi ruang kepada komuniti Dayak untuk meraikan budaya mereka begitu selari dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk meraikan budaya tempatan, malah turut menyokong pembangunan ekonomi usahawan belia tempatan.
Malah, pendekatan serampang dua mata penganjuran Malam Kebudayaan Kaum Iban pada malam ini, dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkenal serta mengangkat adat juga martabat suku kaum Iban di mata masyarakat.
“Program seperti ini menyediakan satu platform serta memberi ruang kepada kepada kita semua terutama kaum Iban untuk mengenali dengan lebih mendalam asal-usul kita, seni kraftangan serta makanan kita dan yang paling utama adalah pergaulan kita bersama-sama masyarakat lain.
“Acara ini menyemarakkan semangat perpaduan yang digalakkan serta perlu diperkasakan dan saya berharap semangat ini kekal sehingga ke penghujung perayaan Gawai nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa di Bazar Gawai Dayak 2025 di MJC Batu Kawa pada Khamis.
Ujarnya, inisiatif seumpama ini juga amat bertepatan dengan usaha kerajaan negeri dalam membantu golongan usahawan, terutamanya belia, meningkatkan taraf ekonomi mereka menerusi platform keusahawanan berteraskan budaya.
Menurutnya, bazar ini secara tidak langsung memupuk aktiviti kekeluargaan kerana ramai di kalangan ibu bapa, malah anak-anak membawa keluarga masing-masing untuk berjalan-jalan dan menikmati serta membeli pelbagai juadah, hasil kraftangan serta perkhidmatan yang ditawarkan di sepanjang penganjuran bazar yang akan berlangsung sehingga 25 Mei ini.-TVS