LAHAD DATU, 21 Mei: Seorang warga emas berusia 75 tahun yang dilaporkan hilang di kawasan kebun sawit Felda Sahabat 5, Kampung Desa Kencana, akhirnya ditemui dalam keadaan selamat pada pagi Rabu.
Rosmini Iskandar, bukan warganegara, kali terakhir dilihat sekitar jam 1 petang semalam sebelum disedari hilang oleh ahli keluarganya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sebaik laporan diterima menerusi panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam, 20 Mei.
“Pasukan bomba bersama PDRM dan orang kampung memulakan pencarian di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat, iaitu kira-kira 200 meter dari rumah. Operasi hari pertama ditangguhkan pada jam 1.33 pagi dan disambung awal pagi ini,” katanya.
Tambah beliau, pencarian hari kedua bermula jam 6.12 pagi membabitkan anggota bomba, polis, APM dan 10 orang kampung dengan radius 200 meter.
Mangsa akhirnya ditemui selamat oleh ahli keluarga kira-kira jam 11.40 pagi dalam kawasan kebun pada jarak 300 meter dari rumah dan diserahkan kepada keluarga untuk tindakan selanjutnya.
Operasi disertai empat anggota bomba menggunakan satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV).-TVS