LANGKAWI, 21 Mei: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Adly Zahari, sejurus ketibaan baginda kira-kira pukul 10.00 pagi.
Turut mengiringi anakanda baginda, Tunku Idris Iskandar, Tunku Abdul Rahman, dan Tunku Abu Bakar.
Dalam lawatan kira-kira satu jam itu, Seri Paduka berkenan melawat beberapa reruai utama pameran termasuk reruai milik syarikat tempatan dan antarabangsa seperti SAPURA, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta reruai syarikat pertahanan dari Turkiye, MKE.
Pada Mac lalu Seri Paduka Baginda mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi dinamakan sebagai Ibrahim Class IC 1170cc kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Bot berkenaan yang direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi mampu beroperasi dalam perairan tropika.
Kehadiran Yang di-Pertuan Agong pada edisi LIMA kali ini jelas memperlihatkan sokongan baginda terhadap pembangunan teknologi pertahanan negara.
LIMA’25 yang memasuki edisi ke-17 pada tahun ini berlangsung dari 20 hingga 24 Mei dan merupakan penganjuran terbesar sejak ia diperkenalkan pada 1991.
Pameran kali ini menampilkan lebih 600 pempamer dari seluruh dunia, menjadikannya antara acara industri pertahanan dan aeroangkasa paling berprestij di Asia Tenggara. – TVS