KUALA LUMPUR, 21 Mei: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini dilengkapi dengan sambungan internet berkelajuan tinggi menerusi rangkaian 5G, hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, persiapan infrastruktur kesalinghubungan tersebut mencecah kelajuan sehingga 1Gbps pada satu-satu masa.
“Pihak MCMC telah menyediakan unit sambungan internet 5G bersaiz besar yang akan dimanfaatkan untuk semua mesyuarat Asean di pelbagai peringkat, termasuk sidang kemuncak yang bakal berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini.
“Tahap kelajuan internet amat baik, antara 300 hingga 600 mbps dan mencecah sehingga 1Gbps di pusat media antarabangsa,” jelasnya dalam satu sidang media.
Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan di Pusat Media Antarabangsa di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu.
Pada masa sama beliau memaklumkan bahawa Sidang Kemuncak Asean yang dianjurkan kali ini bakal menyaksikan peluncuran Deklarasi Kuala Lumpur dan perincian dokumen yang terkandung akan dimaklumkan kemudian.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan menghimpunkan kesemua 10 pemimpin negara anggota bagi membincangkan isu-isu serantau, memperkukuh kerjasama ekonomi serta mengutamakan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Turut diadakan ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) 2025 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China. -TVS