TUARAN, 21 Mei: Di sebalik reputasinya sebagai destinasi mewah, Shangri-La Rasa Ria di Sabah membuktikan bahawa kemewahan dan kelestarian bukan prinsip yang saling bercanggah.
Sebaliknya, kedua-duanya boleh digembleng secara serentak dalam merintis pembangunan pelancongan mampan yang berimpak tinggi dan berjangka panjang.
Selama lebih tiga dekad, pusat peranginan ini telah mengendalikan sistem air kelabu (grey water) tersendiri untuk kegunaan penyiraman landskap dan padang golf 18 lubangnya.
Menurut Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria, Fiona Hagan, inisiatif tersebut bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap sumber air bersih malah mencerminkan komitmen jangka panjang resort ini terhadap kelestarian yang telah wujud sejak awal operasinya.

“Kelestarian sentiasa menjadi matlamat jangka panjang bagi semua industri dan perniagaan. Kita perlu mengenal pasti peluang yang boleh dilaksanakan hari ini dan merancang lebih awal untuk masa hadapan.
“Kami memiliki pensijilan ISO 20121 bagi pengurusan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan pekerjaan serta amalan kebersihan makanan selamat.
“Pensijilan ini merupakan kesinambungan usaha sedia ada kerana ia memfokuskan kepada acara mampan yang memberi impak bukan sahaja kepada cara kami beroperasi, tetapi juga kepada tetamu kami, sebagai antara pemegang taruh utama,” katanya.
Pusat peranginan ini turut mempercepatkan adaptasi teknologi hijau sejajar dengan kesan perubahan iklim yang semakin ketara. Langkah tersebut termasuk pelaksanaan sistem pemulihan air di fasiliti dobi serta pemasangan pancuran air aliran rendah, semuanya dilaksanakan tanpa menjejaskan pengalaman tetamu.
Pensijilan ISO 20121 yang diterima juga menjadikan Shangri-La antara perintis pengurusan acara mampan di Malaysia. Pendekatan menyeluruh ini merangkumi bukan sahaja operasi dalaman, malah turut melibatkan rantaian bekalan dan pemerkasaan komuniti setempat.
Antara kerjasama yang memberi impak ketara ialah hubungan strategik bersama komuniti wanita pembuat kraftangan tempatan. Usaha ini melangkaui transaksi jual beli semata-mata dengan melibatkan sesi rundingan bagi meningkatkan kualiti produk dan memperkukuh naratif yang selari dengan standard jenama mewah.
“Pada awalnya, mereka mungkin kurang yakin bahawa produk mereka sesuai untuk hotel seperti ini. Tugas kami ialah memberi keyakinan bahawa kisah dan identiti mereka adalah sesuatu yang unik, di situlah letaknya nilai sebenar.
“Setelah mereka menyedari hal tersebut, kami dapat membantu dari segi latihan dan pembangunan produk agar memenuhi jangkaan tetamu kami. Tanpa kerjasama dua hala ini, komitmen seperti ini tidak akan bertahan lama,” ujar Fiona.
Kajian dijalankan melalui pemantauan menggunakan teknologi GPS bagi memahami habitat dan tabiat tenggiling dalam kawasan rizab semula jadi pusat peranginan.

Menurut Dr Lauretta Andrew Laneng, Pensyarah Kanan di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, UMS, kajian ini bukan sahaja bertujuan mengumpul data asas populasi tenggiling, malah boleh menjadi asas kepada penyelidikan spesies lain seperti kucing hutan dan binturong yang turut tersenarai sebagai haiwan terancam.
Projek ini dibiayai melalui dana sekitar RM70,000 termasuk sumbangan langsung daripada pihak Shangri-La, satu bentuk sokongan sektor swasta terhadap pemuliharaan dan penyelidikan saintifik.
“Saya berharap masyarakat akan lebih sedar mengenai tenggiling kerana ia masih kurang dikaji di Malaysia. Setakat ini hanya satu penyelidik, Elisa Panjang, yang diketahui telah lama menjalankan kajian tentang spesies ini.
“Saya juga berharap generasi akan datang lebih peka dan tahu bagaimana untuk bertindak sekiranya menemui tenggiling, menyelamatkannya dan menghantarnya ke pusat pemulihan agar ia dapat dilepaskan semula ke habitat semula jadi,” katanya lagi.
Menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, pendekatan holistik Shangri-La ini sewajarnya menjadi model dalam memacu dasar pelancongan negara ke arah lebih mampan dan bertanggungjawab.
Pusat peranginan ini turut menerima pengiktirafan ASEAN Green Hotel dan ASEAN Green MICE Hotel, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan lestari di peringkat antarabangsa.

“Dalam industri pelancongan, kita mesti bekerjasama. Ini bukan kempen individu semata-mata. Di Sabah, kami sangat bertuah kerana Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) sangat aktif menyokong inisiatif seperti ini.
“Fokus kami di sini ialah pelancongan berasaskan komuniti dan promosi ekopelancongan yang menjadi identiti Sabah. Saya percaya semua hotel dan pemain industri pelancongan mampu menyumbang kepada kejayaan kempen Visit Malaysia,” katanya. – TVS