KUCHING, 21 Mei: Landskap ilmu di Sarawak terus berkembang dinamik seiring dengan kemajuan teknologi perubahan keperluan masyarakat yang semakin kompleks.
Selari dengan transformasi itu, Pustaka Negeri Sarawak komited melaksanakan adaptasi strategik dalam mendepani cabaran masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka, Japri Bujang Masli menegaskan komitmen institusi itu dalam memperkasakan masyarakat agar menjadi sebahagian daripada ekosistem ilmu yang lebih terbuka dan inklusif.
“Kami tidak hanya memberi akses kepada maklumat, tetapi kami ingin memperkasakan komuniti untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem ilmu yang terbuka, inklusif dan dinamik,” katanya.
Melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi seperti penubuhan Pusat Komuniti Digital dan pelaksanaan program PANDei (People’s Accessible Network for Digital Empowerment and Inclusivity), Pustaka dilihat konsisten dalam usaha merapatkan jurang digital, terutamanya di kawasan luar bandar.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Abang Abdul Rauf Abang Zen menekankan bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha kolektif pelbagai pihak.
“Pustaka adalah hasil usaha kolektif seluruh ekosistem ilmu di negeri ini, bukan milik satu pihak semata-mata,” ujarnya.
Antara pencapaian antarabangsa yang mengukuhkan kedudukan Pustaka di peringkat global adalah penerimaan UNESCO Confucius Prize for Literacy pada tahun 2022.
Menurutnya, ia merupakan pengiktirafan yang bukan sahaja mengharumkan nama institusi tetapi turut mengangkat Sarawak setanding dengan pemain utama literasi dunia.
Selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membina negeri yang maju, makmur dan berdaya tahan dalam ekonomi digital, Pustaka katanya akan terus melangkah sebagai agen perubahan dalam membentuk masyarakat berpengetahuan di era global.- TVS